Thursday, December 17, 2015
Kisah Ajaib Nu'aiman yang berwatak lucu dan Aneh
Nu'aiman ibnu Amr Al-Anshary adalah penduduk Madinah dari keturunan kaum Anshar, dari Bani Najjar. Pada waktu perang Badar, dia turut berjihad bersama Rasulullah S.a.w. Di kalangan para sahabat, Nu'aiman terkenal sebagai sahabat yang suka bergurau. sehingga Rasulullah S.a.w sendiri bersabda :
"Nu'aiman akan masuk syurga sambil tertawa, kerana dia suka membuat ku tertawa".
Pada suatu ketika Rasulullah S.a.w mengunjungi Nu'aiman yang sedang sakit mata. Rasul melihat dia sedang asyik makan kurma. Baginda kemudian mengajukan pertanyaan kepadanya : "Bolehkah kamu makan kurma, sedangkan matamu sedang sakit?" Nu'aiman menjawab : " Saya makan menggunakan mata yang satu lagi". Mendengar jawapan Nu'aiman ini, Rasul tertawa sehingga kelihatan gigi gerahamnya.10
Nu'aiman memang selalu bergurau, sehingga membuat Rasulullah tertawa dan gembira. Antara kisah-kisah gurauannya adalah :
Pada suatu hari, Nu'aiman memberi madu kepada Rasulullah S.a.w sebagai hadiah. Madu itu dia beli daripada orang kampung. Ketika dia memberikan madu itu kepada Rasulullah, dia membawa bersamanya penjual madu tersebut. Tanpa pengetahuan Rasulullah, Nu'aiman menyuruh penjual tersebut meminta wang daripada Rasulullah sebagai ganti harga madu itu. Dan ketika Rasulullah S.a.w sedang membahagikan madu itu kepada para sahabat yang hadir di rumahnya, penjual tersebut berteriak : "Bayarlah harga maduku itu?" Kemudian Rasulullah berkata : "Ini pasti idea Nu'aiman". Kemudian Rasulullah memanggilnya dan bertanya : "Mengapa kamu lakukan hal ini?" Nu'aiman menjawab : "Saya ingin mendapatkan kebaikanmu wahai Rasulullah S.a.w. Saya tidak mempunyai apa-apa". Rasulullah pun tersenyum dan akhirnya dia memberi wang kepada penjual tersebut. 11
Ada seorang lelaki datang dari kampung terus ingin menghadap Rasulullah S.a.w (kemudian masuk ke dalam masjid). Dia meninggalkan unta haiwan tunggangnya di halaman. Ada sebahagian sahabat yang berkata kepada Nu'aiman : "Sembelihlah haiwan itu kemudian kita makan dagingnya bersama-sama. Kami ingin sangat makan daging ketika ini. Nanti wang ganti ruginya biar Rasulullah yang membayarnya." Nu'aiman menyetujui permintaan sahabat itu dan akhirnya dia menyembelih haiwan tersebut. Ketika orang kampung itu keluar dari masjid, dia terkejut dan menjerit kerana haiwan tunggangannya mati. Rasulullah pun keluar rumah dan bertanya : "Siapa yang melakukan hal ini?
Para sahabat menjawab : " Nu'aiman, wahai Rasul". Kemudian Rasulullah mencari Nu'aiman dan menjumpainya sedang bersembunyi di balik daun kurma di dalam parit tidak jauh dari rumah Duba'ah bin al-Zubair bin 'Abd al-Muttalib. Rasulullah dapat menemui kerana ada seorang yang memberitahu tempat persembunyian Nu'aiman. Kemudian Rasulullah menyuruhnya keluar, dan melihat wajah Nu'aiman penuh dengan debu. Rasulullah bertanya kepadanya : " Mengapa kamu melakukan hal ini?" Nu'aiman menjawab : "Orang-orang yang menunjukkan tempat aku bersembunyilah yang menyuruhku melakukan hal ini wahai Rasulullah". Setelah mendengar jawapan itu, Rasulullah membuang debu yang ada di wajah Nu'aiman dengan senyuman, kemudian Baginda mengganti harga unta yang telah disembelih itu.
Selalunya Nu'aiman yang memperkenakan orang lain, tetapi ada satu kisah dimana Nu'aiman telah diperkenakan oleh sahabatnya sendiri iaitu Suwaibit.
Suwaibit dan Nu’aiman adalah dua orang sahabat Baginda s.a.w yang kerap membuatkan Baginda s.a.w tertawa dengan kelakuan mereka yang melucukan dan menggembirakan hati.
Kedua-dua sahabat ini di antara tentera Perang Badar dan peristiwa lucu ini berlaku setahun sebelum kewafatan Baginda s.a.w.
Satu ketika kedua-dua sahabat ini pergi mengikuti Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a berniaga di Busra. Ketika itu, Nu’aiman membawa bekalan makanan. Lalu Suwaibit menyuruh Nu’aiman memberikan bekalan tersebut kepadanya untuk dimakan.
Nu’aiman memberitahunya bahawa dia akan mengeluarkan bekalan tersebut apabila Saidina Abu Bakar sampai kepada mereka. (Suwaibit seakan tidak puas hati dengan tindakan Nu'aiman itu)
Ketika itu, ada sekumpulan manusia datang berhampiran mereka. Suwaibit mengambil kesempatan dengan bertanya kepada mereka, “adakah kamu hendak membeli hamba (Nu’aiman) daripadaku?”
Lalu kumpulan tersebut bersetuju untuk membeli hamba daripada Suwaibit, dan dia telah berpesan bahawa hambanya akan berkata “saya merdeka”. Oleh itu, apabila dia berkata demikian, jangan peduli dan biarkan dia.
Lalu mereka membeli hamba (konon) Suwaibit itu dengan seekor unta muda. Suwaibit pun mengalungkan tali unta tersebut ke leher Nu’aiman (hamba). Lalu mereka pergi dengan membawa Nu’aiman dengan tali unta tersebut.
Nu’aiman segera berkata kepada mereka, "aku adalah seorang merdeka, dan bukannya hamba." Dan ini hanyalah gurau senda Suwaibit semata-mata. Lalu mereka melepaskan Nu’aiman kerana hamba tersebut telah berkata “aku merdeka”. Setelah itu, dia segera menemui Suwaibit dan menceritakan hal tersebut kepada Saidina Abu Bakar.
Lalu Saidina Abu Bakar menyuruh Suwaibit mengembalikan semula unta muda tersebut kepada sekumpulan manusia tersebut. Apabila cerita ini disampaikan kepada Nabi s.a.w, baginda tertawa kerana kelucuannya. Dan kisah ini menyebabkan Rasulullah S.a.w dan para sahabat tersenyum apabila diungkitkan tentang kisah ini selama setahun. [Kisah ini disebut dalam Sunan Ibnu Majjah : 3219, dan juga diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah]
Ada pula kisah Nu'aiman pada zaman Khalifah Utsman bin Affan. Seorang buta iaitu Makhrumah bin Naufal yang berusia 115 tahun, dia berdiri di masjid untuk kencing. Para sahabat berteriak, "masjid, masjid!" Maka Nu'aiman memimpin tangannya membawa ke satu bahagian lain masjid. Setelah itu Nu'aiman berkata kepadanya, "kencinglah di sini."
Maka para sahabat berteriak lagi dan Makhrumah berkata, "Celaka kamu!" Siapakah yang membawaku ke tempat ini? Mereka menjawab, "Nu'aiman!"
Makhrumah berkata, "Sungguh jika aku beruntung, aku akan pukulnya dengan tongkatku!" Nu'aiman datang semula kepada Makhrumah selang beberapa hari kemudian. Kali ini Nu'aiman membuat suara lain, agar Makhrumah tidak cam bahawa itu adalah Nu'aiman.
Nu'aiman bertanya kepada Makhrumah, "Apakah kamu inginkan Nu'aiman?" Makhrumah mengiyakannya, lantas Nu'aiman membawa orang buta tersebut kepada Saidina Utsman yang sedang solat dalam masjid. Nu'aiman berkata, "Di depan mu itu adalah Nu'aiman." Makhrumah pun terus memukul orang yang disangkanya Nu'aiman, tetapi rupa-rupanya adalah Khalifah Utsman bin Affan.
Sahabat-sahabat berteriak, "Kamu telah memukul Amirul Mukminin!" Bayangkan kenakalan Nu'aiman, sehinggakan khalifah (pemerintah) pun dia boleh pekenakan. Akan tetapi orang tidak marah dengan Nu'aiman, kerana masing-masing sudah tahu tentang kelucuannya.
Ibnu Sirin pernah ditanya tentang kebiasaan para sahabat, “Apakah mereka itu juga bergurau? Beliau menjawab, “Mereka tidak lain adalah manusia biasa seperti umumnya manusia, seperti Ibnu Umar, beliau sering bergurau dan bersenandung dengan syair.” (HR. Abu Nu'aim di dalam Al Hilyah: 2/275).
Sebahagian sahabat ada yang bersenda gurau dan Rasulullah S.a.w. pun membiarkan dan menyetujuinya. Hal-hal seperti ini terus berlaku setelah Rasul s.a.w wafat. Semua itu diterima oleh para sahabat, tidak ada yang mengingkari. Ini membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah melarang umatnya untuk bergurau-senda, selama mana gurau itu tidak melampaui batas dan melanggar syariat.
2 Ihya' Ulum al-Din (2/325)
3 Kanz al-'Ummul (4/27)
5 Nihayah al-Irb, (4/1).
6 Ibid, (4/2)
10 Al-'Aqd al-Farid, (6/381)
11 Al-Isti'ab, (Hal. 1529)
12 Ibid, (hal 1528) dan al-Sirah al-Halabiyyah, (2/375)
16 Ibid, (2/337)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment